KUALA LUMPUR: Pernah membintangi lebih 10 filem, malah turut mendapat kepercayaan membawa watak utama dalam filem, Papa I Love You, Zalif Sidek masih berharap diberi lagi peluang untuk menjadi hero.

Lebih tujuh tahun berlakon, Zalif atau nama lengkapnya, Md Zalif Naquiyudin Wan Abu, percaya rezekinya tetap ada jika dia berusaha keras mengejar peluang.

“Saya masih berharap diberi peluang membawa watak hero. Namun, semua itu bergantung kepada jalan cerita dan kesesuaian skrip. Jika tiada rezeki, tidak mengapa kerana watak pembantu juga mampu meninggalkan impak kepada penonton.

“Kebanyakan produksi sudah tahu bagaimana cara kerja saya. Memang saya mementingkan soal disiplin dan tidak suka buat masalah di set penggambaran.

“Jika ada ketidakpuasan hati, terutama berkaitan bayaran, saya akan berbincang baik-baik. Bukan cara saya menggunakan laman sosial untuk membuat kecoh. Mungkin dari situ, mereka terus percaya dan menawarkan lagi peluang,” katanya.

Bersyukur rezekinya masih terbuka luas, Zalif laris menerima tawaran membintangi iklan komersial, selain mengusahakan syarikat produksi dengan menerbitkan video korporat dan penganjuran acara sejak tiga tahun lalu.

“Saya masih ada dalam bidang seni dan tidak mudah menyerah kalah. Saya percaya, kalau tiada rezeki dalam satu cabang kerjaya, insya-Allah akan ada rezeki dalam bidang lain.

“Alhamdulillah, tawaran berlakon sentiasa ada. Ketika ini, saya sedang melunaskan penggambaran drama, Budak Usin arahan Shahrulezad Mohameddin terbitan Radius One. Saya pegang watak pembantu sebagai abang sulung Usin,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zalif sedang menanti siaran drama travelog 13 episod, Destinasi Ukhuwah yang dijangka menemui peminat di RTM, September ini. Drama terbitan Nuansa Films yang diarahkan Suhaimi Zulkifli itu turut menampilkan Ameerul Affendi, Adam Shahz dan Fendy Bakry.

“Ia memaparkan empat pelakon utama yang merantau dari Johor hingga ke Thailand. Di setiap negeri dan lokasi yang dilawati, kami akan mempromosikan masjid dan sejarahnya. Setiap episod juga mempunyai drama berdasarkan situasi,” katanya kepada BH Online