IPOH, 1 Ogos — Sebanyak 10,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan hasil daripada pembangunan hab mega komponen auto bersepadu di daerah Muallim, kira-kira 120 kilometer dari sini.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata pembangunan di kawasan seluas 40.47 hektar di mukim Hulu Bernam Timur itu adalah hasil usaha sama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Mobile Starhill (M) Sdn. Bhd.

“Jika persefahaman ini berjaya, ia akan membawa peluang pekerjaan, perniagaan dan pembangunan di Muallim dengan lebih cepat,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara PKNP dengan Mobile Starhill (M) Sdn. Bhd, di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata pihaknya memberi jaminan akan memproses segera sebarang keperluan bagi pembangunan projek tersebut.

Pada majlis itu, PKNP diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Ariff Yeop Ishak, manakala Mobile Starhill (M) Sdn. Bhd diwakili Pengerusi Eksekutifnya Dr Goh Tian Chuan. — Bernama