Salam Malaysia Kita.

Pendedahan demi pendedahan tentang campur tangan pihak asing dalam PRU-14 tidaklah mengejutkan.
Peranan kuasa luar ini makin ketara sejak PRU-12 lagi.

Ini meliputi bantuan dana kepada badan-badan bukan kerajaan tertentu kononnya atas nama demokrasi dan kebebasan. Tidak terkecuali adalah portal berita Malaysiakini. Sebab itu portal tersebut ghairah menyerang institusi agama dan Melayu di negara ini.

Saban hari Malaysiakini akan menyiarkan komen para pembaca secara selektif yang mentohmah dan memperlekehkan institusi Islam dan Melayu.

Strategi Malaysiakini mempergunakan ruangan komen pembaca ternyata mengancam keharmonian negara.
Ramai rakyat Malaysia tidak sedar bagaimana portal tersebut yang turut mendapat pembiayaan asing memainkan agendanya.

Salah satu sasaran Malaysiakini adalah media Melayu yang berpengaruh seperti Utusan. Saya sudah lama tidak percaya kepada Malaysiakini yang sehingga hari ini gagal menjawab banyak isu dan persoalan.

Jika di negara lain, mana-mana pihak apatah lagi media yang membawa aspirasi dan agenda kuasa asing, dengan sendirinya pasti ditolak dan dihina oleh rakyat. Media harus berteraskan nasionalisme dan patriotisme, bukannya menjadi alat pihak asing.

Sebagai rakyat Malaysia, saya sudah meluat dengan gejala pengkhianatan terhadap negara ini yang semakin membimbangkan.

Semoga menjelang sambutan Hari Kemerdekaan, kita lebih berwaspada termasuklah ke atas Malaysiakini. Inilah penjajahan bentuk baharu tanpa perlu menceroboh batas sempadan geografi.

Media dijadikan senjata untuk menghasut dan meracuni pemikiran rakyat terutama orang Melayu. Pada saya ekstremisme media boleh mengundang ekstremisme jika gagal dibendung dengan baik.

Mahukah editor Malaysiakini bertanggungjawab jika tercetus sesuatu yang buruk ?

Apatah lagi akan ada pihak menangguk di air keruh pada setiap situasi yang kritikal. Maka bersamalah mempertahankan negara ini daripada musuh luar, yang menggunakan pelbagai pihak dalam negara sebagai tali barutnya. Mereka ini jijik dan hina.

Khairul Azman Khamis –Bangsar, Kuala Lumpur