ALOR GAJAH: Pelakon veteran, Wan Maimunah Abdul Aziz, 64, dimasukkan ke Hospital Alor Gajah, di sini, sejak semalam, akibat sesak nafas dan jangkitan kuman pada paru-paru.

Wan Maimunah yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai ibu berkata, dia mula mengalami sesak nafas selepas melawat salah seorang adiknya di Gadek, Alor Gajah, semalam.

“Doktor yang melakukan x-ray memaklumkan ada sedikit jangkitan kuman pada bahagian paru-paru. Adatlah, selain faktor cuaca, umur pun sudah macam (lanjut) ini.

“Ibu bersyukur sangat, dalam pada tidak ada Facebook, Instagram, tetapi ibu terima lebih lima kiriman WhatsApp dari Makkah yang mengirimkan doakan dari sana. Itu pun sudah seribu rahmat buat ibu,” katanya dalam nada sayu ketika ditemui pemberita di hospital berkenaan, hari ini.

Dalam linangan air mata, Wan Maimunah berkata, dia sentiasa bersyukur kerana dikelilingi ramai insan istimewa yang sentiasa memberikan perhatian dan kasih sayang tidak berbelah bahagi walaupun tidak mempunyai ikatan persaudaraan.

Kata pelakon yang pernah menjulang trofi Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH selama lima tahun berturut-turut ini, dia reda dengan ujian menimpanya kerana percaya kepada ketentuan-Nya.

“Allah SWT hendak uji kita. Agaknya, ada waktu ibu leka, lalai. Beginilah Allah kejutkan. Syukur, dalam waktu ini masih boleh lagi meneruskan kehidupan.

“Cuma, rasa letih (sesak nafas), terkejut sangat sebab tidak pernah mengalami keadaan seperti ini,” katanya yang sesekali batuk.

Pada akhir November 2016, pelakon itu pernah dimasukkan di Hospital Jasin, akibat jangkitan kuman pada paru-paru dan jantung bengkak.

Kata pelakon yang terkenal dengan watak air mata dan komedi itu, dia berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan perhatian termasuk ahli keluarga sendiri.

“Selain adik beradik dan rakan artis yang mengambil berat, ibu tidak sangka daripada doktor, kakitangan hospital, pengawal keselamatan, peminat serta anak-anak angkat semuanya mengambil berat.

“Malah, bukan sahaja Melayu, bangsa India dan lain-lain juga turut sama memberikan perhatian. Itulah nilai kasih sayang yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit,” katanya sayu.

Sementara itu, adik bongsunya, Wan Rohana, 52, berkata dia sekeluarga yang menetap di Serendah, Selangor, segera melawat Wan Maimunah di hospital itu sebaik mendapat maklumat, semalam.

“Anak saya, Miza Farzana yang sering berhubung dengan Mak Anjang (Wan Maimunah). Lantas, sebaik mendapat tahu dia dimasukkan ke dalam wad, kami sekeluarga datang untuk menziarahnya,” katanya kepada BH Online