Oleh Zulfikir Zaman

Saya terpanggil untuk mengulas tulisan Zaini Hassan dalam ruangan Cuit Utusan Malaysia terbitan 7 November 2018 (Rabu) yang menyeru akhbar Utusan supaya insaf (Insaflah¬†Utusan, jika mahu terus hidup…).

Sebagai pembaca setia Utusan, saya tidak nampak asas untuk Utusan ‘insaf’, sebaliknya Utusan perlu pertahankan jatidirinya sebagai akhbar yang menjadi sandaran orang Melayu.

Sememangnya, mana- mana akhbar dan syarikat yang dimiliki parti politik berdepan cabaran dan risiko besar. Apatah lagi apabila parti itu tumbang dalam pilihan raya. Ini lumrah dan realiti, sesiapa pun yang bijaksana tidak sewajarnya menyalahkan organisasi media itu sendiri.

Yang sebenarnya perlu insaf adalah penulis seperti Zaini yang sejak perubahan kerajaan Pakatan Harapan, tidak berani mengkritik dan mendedahkan pelbagai kepincangan yang berlaku. Apakah kerana beliau takut dengan kerajaan autokratik dan tidak mengikut rule of law itu?

Aneh, beliau boleh menyeru Utusan insaf tanpa mencermin dirinya terlebih dahulu. Saya membaca beberapa tulisannya sejak Ogos lalu dan tiada satu pun suara keberanian membidas kerajaan Pakatan Harapan. Sedih, Utusan yang dimiliki oleh parti pembangkang iaitu UMNO, hilang sengat dan bisanya untuk mengkritik pihak Pakatan Harapan yang selama ini menabur pelbagai fitnah, penipuan dan membawa agenda DAP.

Sebaliknya yang Zaini seronok menulis adalah memuji pemimpin Pakatan Harapan melalui kunjungan hormat persatuan yang beliau pimpin dan asyik menyentuh tentang dirinya.

Apabila beliau menyatakan akan meninggalkan Utusan pada November ini dalam ruangannya itu, ia adalah langkah yang terbaik. Utusan tidak memerlukan penulis seperti beliau yang mencari jalan selamat dan bermuka-muka. Utusan akan lebih maju jaya tanpa Zaini, yang asyik mahu menyalahkan organisasinya tetapi bukan dirinya.

Penulis seperti ini seumpama lalang ditiup angin. Sebagai pembaca setia yang berkongsi aspirasi Utusan selama ini, saya lebih malu dengan penulisan yang selalu dipaparkan oleh Zaini. Sudah sampai masanya Utusan mengkaji semula kolumnisnya.

Ambillah mereka yang tiada kepentingan peribadi dan teguh jatidirinya serta tidak mudah hanyut dengan asakan luar. Saya akan mendoakan Utusan berjaya walaupun dalam lanskap politik yang lebih mencabar ketika ini.

Sampai saat ini saya tidak pernah malu membeli dan membaca Utusan Malaysia. Malah tanpa membeli Utusan, tidak lengkap urusan harian saya. Saya akan terus menyokong Utusan, insyallah.

Zulfikir Zaman-Bandar Baru Bangi, Selangor.