LABUAN, 28 Julai — Kementerian Pembangunan Usahawan menggesa usahawan baharu untuk bersatu dan membentuk koperasi bagi mengembangkan operasi perniagaan mereka serta kekal berdaya saing dan kos efektif.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, koperasi memainkan peranan penting dalam pembangunan keusahawanan.

Di bawah konsep koperasi, sebahagian besar aktiviti ekonomi seperti pengeluaran barangan dan perkhidmatan dan pengedarannya dapat dijalankan melalui gabungan usaha ramai pihak.

“Memandangkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dijangka diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, lebih mudah bagi kita untuk menyalurkan bantuan kepada usahawan baharu melalui koperasi itu,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan di sini, hari ini.

— BERNAMA