PETALING JAYA: Spekulasi kemesraan antara pasangan pelakon, Uqasha Senrose dan Ben Amir yang sering dipaparkan di laman sosial terjawab apabila aktres itu mengaku mereka sedang mengenali hati budi masing-masing.

Mengulas lanjut perkara itu, Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 26, memohon diberi ruang untuk menjalani kehidupan sama seperti orang lain dalam soal mencintai dan dicintai.

“Selama sembilan bulan saya berdiam diri tanpa ada cerita yang mengaitkan saya dengan mana-mana lelaki. Jadi, apa salahnya saya beri peluang kepada diri sendiri untuk kenal orang baharu.

“Perkara ini berlaku pun bukan dirancang. Saya tidak menjangka kami akan berjumpa semula selepas dia berlakon dengan adik saya, Nelydia.

“Kami kemudian berkawan rapat selepas menyedari ada keserasian antara kami,” kata Uqasha ketika ditemui pada majlis pratonton filem Hantu Kak Limah di Mutiara Damansara di sini, malam tadi.

Menerusi filem arahan Mamat Khalid itu, Uqasha memegang watak sebagai Eton yang menjalinkan hubungan cinta dengan Husin lakonan Datuk Awie.

Mula mengenali pelakon drama bersiri Playboy Itu Suami Aku itu kira-kira lima tahun lalu, tanpa berselindung aktres jelita itu memberitahu, dia sangat selesa berkawan dengan Ben.

“Jujur saya akui sangat selesa berkawan dengan Ben. Ini kerana apabila bersamanya, saya boleh jadi sendiri.

“Tak perlu nak berhias berlebih-lebih kalau keluar dengannya berbanding sebelum ini. Biasalah, kalau kita sukakan seseorang itu kita akan sentiasa cuba bergaya untuk buat dia tertarik.

“Namun, apabila dengan Ben, penampilan saya sangat ringkas dan dia tidak merungut pun,” dedah pelakon Hero Seorang Cinderella ini.

Diusik dengan pertanyaan apakah dia akan menerima jika jejaka berusia 28 tahun itu menjadi teman lelakinya, suatu hari nanti, sambil tersenyum, Uqasha menjawab:

“Doalah yang baik-baik.”-BH Online