KUALA LUMPUR: Setelah lebih setahun Malaysia ditadbir oleh kerajaan baharu iaitu Pakatan Harapan, akhirnya dua parti politik terbesar orang Melayu telah bergabung bagi memastikan nasib umat Melayu terus terbela dan agama Islam tidak tertindas.

Gabungan ini dijangka mampu menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan pada bila-bila masa sahaja sekiranya Pilihanraya Umum diadakan kerana majoriti pengundi Melayu kini berada dalam gabungan PAS-Umno.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, hari ini menandatangani piagam Muafakat Nasional sebagai tanda termeterainya kerjasama rasmi antara kedua-dua parti.

Upacara kemuncak dalam Himpunan Penyatuan Ummah 2019 itu disaksikan kedua-dua Setiausaha Agung iaitu Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan.

Mereka kemudian membacakan kandungan Piagam Muafakat Nasional itu, yang antara kandungannya permuafakatan bersifat nasional, bukan sekadar ikhtiar politik orang Melayu dan Islam atau demi kuasa semata-mata.

Selain itu ia mestilah menjadi gerakan penyatuan nasional yang dipimpin oleh UMNO dan PAS yang menjamin kebaikan serta kemakmuran watan secara holistik.

Kandungan lain pula ialah UMNO dan PAS tidak harus terjerumus dalam politik kaum yang sempit serta pegangan agama yang ekstrem yang bercanggah dengan fitrah Islam.

Piagam menganjurkan kesederhanaan dan menghormati agama lain, selari dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Negara sebagaimana yang dizahirkan dalam kerangka ‘Ummatan Wasata’.