SEORANG pemimpin utama Umno ketika ini, Lokman Noor Adam,berkata parti itu sedang mempersiapkan “tentera” dalam usaha mereka “memusnahkan” parti yang sedang memerintah sekarang.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam memberitahu “tentera” terbabit memiliki semangat juang yang tinggi bagi menghadapi Pakatan Harapan (HARAPAN).

Mengulas mengenai satu klip video yang tular sejak semalam, Lokman mendakwa ia juga menjadi isyarat jelas bahawa Umno sentiasa membawa isu rakyat, bukannya hal-hal perkauman sempit.

“Dengan tersebarnya video itu, baru ahli Umno sendiri sedar bahawa kepimpinan baru parti di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai presidennya sedang menyediakan bala tentera untuk memusnahkan Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu satu klip video pendek menjadi tular sebelum dipersendakan sesetengah pihak, terutama penyokong kerajaan.

Melalui klip video itu kelihatan sekumpulan orang berlatih mengadakan demonstrasi. Menurut keterangan mengiringi klip video itu aksi tersebut ialah sebahagian daripada pengisian kursus asas Umno untuk menjadi pembangkang berkesan.

Ia diadakan selama tiga hari mulai 31 Ogos, dipercayai di sebuah pusat latihan milik Umno di Janda Baik, Pahang.

Sejak negara mencapai kemerdekaan Umno tidak pernah menjadi pembangkang sehinggalah pada 9 Mei lalu apabila pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Untuk rekod Lokman menjadi antara pemuda yang mula mencipta nama dalam politik sejak era reformasi 1998 apabila mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau sendiri ketika itu sering menyertai tunjuk perasaan mendesak Tun Dr Mahathir meletak jawatan.

Bagaimanapun beliau kemudian menyertai Umno semula dan berkhidmat sebagai salah seorang panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

JASA bagaimanapun dibubarkan kerajaan HARAPAN.

 

Selain klip video berkenaan, satu lagi gambar memaparkan jadual program kursus tersebut turut menjadi tular. Antara lain pengisian program tersebut melibatkan debat kedai kopi dan simulasi membuat laporan polis.

Kata Lokman pihaknya selalu mengadakan tunjuk perasaan menuntut janji 100 hari HARAPAN namun mendakwa tiada media yang dikuasai gabungan itu membuat laporan.

“(Tersebarnya) simulasi demonstrasi kami ini pun cukup untuk memberi isyarat bahawa rakyat mahu HARAPAN menunaikan janji,” katanya.-Malaysiakini