Oleh Mohd Puad Zarkashi

Dua hari lepas, Tony Pua iaitu Pegawai Khas Kepada Menteri Kewangan, telah mengumumkan dua perkara besar. Perkara pertama adalah berkaitan Bajet 2019 yang akan menggunakan kaedah zero based budgeting.

Tony Pua cuma Pegawai Khas kepada Menteri. Bagaimana dia boleh mendahului Menterinya. Bahkan dia mendahului Perdana Menteri. Apatah lagi hal-hal bajet adalah isu besar. Ia nadi Parlimen. Tanpa membahas dan meluluskan bajet, Parlimen tidak televan.

Nampaknya Pegawai Khas  sudah setaraf Menteri Kewangan.

Zero based budgeting bermaksud bajet disediakan daripada kosong (scratch). Ia tidak lagi berasaskan jumlah peruntukan atau angka bajet tahun sebelumnya. Kebiasaannya setiap Kementerian akan meminta tambahan menggunakan jumlah bajet yang diluluskan tahun sebelumnya. Praktis ini akan ditamatkan dalam menyediakan Bajet 2019. Ini strategi mengecilkan peranan dan tanggungjawab Kementerian berkenaan.

Apa yang dibimbangkan ia akan membawa kesan kepada Kementerian atau Jabatan yang ada kaitan dengan agama Islam, agenda Bumiputra, biasiswa dan pembangunan luar bandar.

Perkara kedua; Tony Pua juga menyatakan, berbagai pendedahan mengenai salah laku Kerajaan sebelumnya sudah berakhir. Isu besar sudah habis. Ini mengesahkan bahawa pelbagai pendedahan yang dicanang dan diperbesar-besarkan sebelum ini adalah kerja Tony Pua.

Tugas Lim Guan Eng ialah bercakap di Parlimen sahaja. Dia hanya berani bercakap menggunakan imuniti Parlimen. Dia dicucuk hidung oleh Tony Pua yang menyediakan fakta separuh masak. Sebab itu pendedahan bekenaan tidak disusuli dengan tindakan mahkamah, laporan polis atau SPRM.

Maka, jelas sekali Tony Pua adalah penguasa sebenar di  Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).

30 Ogos 2018/18 Zulhijjah 1439