KUALA LUMPUR 28 Ogos – Kementerian Kerja Raya menjelaskan pemansuhan kutipan tol tidak akan dihapuskan secara serentak sebaliknya akan dilakukan secara berperingkat.

Timbalan Menterinya, Mohd. Anuar Tahir berkata, pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan syarikat konsesi lebuh raya supaya mengkaji semula kadar tol bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

Menurutnya, pemansuhan tol tidak termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) 100 hari sebaliknya adalah janji jangka panjang.

“Kita tidak boleh terburu-buru kerana tindakan ini bukan sahaja melibatkan bayaran pampasan yang besar malah melibatkan kehilangan punca pendapatan kepada ribuan pekerja tol,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program walkabout bersama calon PH, Wong Siew Ki di Bandar Tun Hussein Onn di sini, hari ini. – UTUSAN