ISKANDAR PUTERI, 2 Ogos — Kerajaan negeri berminat untuk membawa masuk pelabur dari Ukraine untuk terlibat dalam sektor pertanian dan teknologi maklumat (IT).

Menteri Besarnya Datuk Osman Sapian berkata ini disebabkan Ukraine adalah negara yang mempunyai teknologi moden dalam bidang pertanian, justeru menjadikan ia sebagai pilihan untuk dicontohi.

“Selama ini kita mengalu-galukan kedatangan pelabur asing tetapi kali ini, kita berharap kerajaan Ukraine akan melihat potensi perdagangan dan pelaburan yang boleh dibuat serta dibawa ke Johor.

“mungkin dari segi IT dan pertanian yang boleh dilakukan secara ‘joint venture’ (usahasama) melalui GLC kita kerana Johor mempunyai begitu banyak tanah terutama di sebelah utara untuk dimajukan, namun tidak semestinya berkenaan kelapa sawit sahaja,” katanya.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo di pejabatnya di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini, hari ini. — Bernama