PUTRAJAYA, 10 Ogos — Fasa kedua kenaikan tarif kontena di Pelabuhan Klang akan ditangguh kepada 1 Mac tahun depan daripada 1 September tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian bersetuju terhadap penangguhan tersebut untuk memberi lebih banyak masa kepada pengguna pelabuhan dan pemain industri lain untuk menyesuai dan menstabilkan perniagaan kepada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diperkenalkan semula pada 1 September.

“Penangguhan ini merupakan petunjuk jelas mengenai komitmen kerajaan untuk meringankan beban rakyat selain mengambil kira impak pelaksanaan SST,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kajian semula tarif kontena Pelabuhan Klang dibuat menerusi Undang-Undang Kecil 2015 (Skala Kadar, Denda dan Caj) (Pindaan), di mana kenaikan caj tarif sebanyak 30 peratus akan dilaksanakan dalam dua fasa.

Menurutnya, fasa pertama kenaikan tarif 15 peratus itu telah dilaksana pada 1 Nov 2015, dengan fasa kedua kenaikan tarif 15 peratus yang dijadualkan pada 1 Sept tahun ini, tiga tahun selepas pelaksanaan pertama.