NILAI, 28 Julai — Kementerian Pendidikan akan menambah program pengajian yang boleh diikuti pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dan memperluaskannya di kolej komuniti seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan golongan OKU ini tidak ketinggalan dalam pendidikan kerana mereka juga mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

“Buat pertama kalinya, kolej komuniti memperkenalkan anugerah baharu khas untuk pelajar cemerlang OKU iaitu Anugerah Pelajar Pendidikan Khas. Ini adalah satu usaha yang sangat penting iaitu memberi ilmu kepada mereka untuk memastikan mereka dapat berdikari di masa akan datang sekaligus menyumbang sumber tenaga kepada negara.

“Jadi untuk membuka peluang yang luas kepada mereka, kita akan tambah program-program yang boleh mereka ikuti dan kita perluaskan ke kolej komuniti seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Sembilan dan Melaka Tahun 2018 di Universiti Sains Islam Malaysia, di sini, hari ini. – BERNAMA