Pelakon dan pengacara popular Awal Ashaari bertindak menutup ruangan komen di beberapa keping gambar yang dimuat naik di Instagram pada Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) baru-baru ini.

Tindakan itu ekoran kecaman yang ditulis netizen terhadap gayanya dan isteri, Scha Alyahya sepanjang berlangsungnya acara terbabit minggu lalu.

“Saya akan menutup ruangan komen di semua gambar KLFW sebab tidak bagi segelintir orang terus berseronok mengecam, menghukum dan menghina.

“Anda boleh ke platform lain. Terima kasih,” tulisnya di Instastories miliknya pagi tadi.

Sebelum ini, beberapa entri milik pelakon itu mendapat kritikan netizen yang kurang selesa dengan aksi pasangan itu ketika di pentas runway.

Awal dan Scha turut berkesempatan memperagakan busana The Melium Group pada Sabtu lalu.

Pasangan itu juga hadir ke KLFW sempena memenuhi undangan pereka fesyen yang membuat pertunjukan sepanjang acara tersebut berlangsung.