Sultan Sallehuddin berangkat ke istiadat Letak Kerja

Sultan Sallehuddin berangkat ke istiadat Letak Kerja

ALOR SETAR 20 Sept. – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke istiadat Letak Kerja sempena pertabalan baginda sebagai Sultan Kedah Ke-29 di Balai Besar di sini sebentar tadi.

Sultan Sallehuddin bakal ditabalkan sebagai Sultan Kedah di Istana Anak Bukit di sini pada 22 Oktober depan.

Turut berangkat dalam istiadat itu Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isteri, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Istiadat itu dimulakan dengan perarakan membawa masuk batil perak yang diisi air mata dari 12 daerah di negeri ini yang diakhiri dengan membawa air zam-zam.

Istiadat Letak Kerja itu diteruskan dengan perarakan membawa masuk sembilan jenis bunga-bungaan oleh ahli kerabat diraja.

Bunga-bungaan tersebut adalah bunga cempaka kuning, bunga melur, bunga kesidang, bunga melati, bunga kenanga, bunga lili, bunga mawar kuning, bunga kekwa dan bunga harum malam.

Perarakan itu diakhiri dengan membawa masuk dulang yang mengandungi sintok, limau dan kemenyan oleh tiga penghulu.

Semua air mata air, bunga-bungaan, sintok, limau dan kemenyan itu akan digunakan pada istiadat Siram Tabal yang dijadual berlangsung di Istana Anak Bukit pada 14 Oktober depan.

Pada 12 September tahun lalu, Sultan Sallehuddin diisytiharkan sebagai Sultan Kedah Ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Muā€™adzam Shah yang mangkat sehari sebelumnya.-Utusan

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...