KUALA LUMPUR 31 Ogos – Jabatan Kastam Diraja Malaysia menasihatkan orang ramai agar tidak panik berhubung pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang bermula 1 September ini berikutan banyak harga barang dijangka lebih rendah daripada biasa.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, ini kerana sistem percukaian baharu itu tidak akan melibatkan peningkatan harga yang ketara dan hanya cukai seperingkat dikenakan kerajaan.
Malah katanya, kira-kira 5,443 barang yang diberi pengecualian cukai di bawah pelaksanaan cukai baharu tersebut berbanding 544 barangan di bawah cukai barang dan perkhidmatan (GST).
“Buat apa hendak panik. Rakyat boleh berbelanja seperti biasa dan SST sepatutnya tidak membebankan rakyat kerana banyak harga barangan sepatutnya turun,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Subromaniam turut menjangkakan lebih 80,000 syarikat pengeluar yang layak akan mendaftar dengan MySST bersempena pelaksanaan SST.
Setakat ini katanya, pihaknya tidak menetapkan tempoh pendaftaran kepada mana-mana syarikat pengeluar kerana ingin memberi peluang dan masa kepada mereka.
Malah jelasnya, pihaknya menjangkakan lebih 90 peratus daripada syarikat yang mendaftar ke MySST adalah pemilik syarikat yang telah pun berdaftar dengan sistem GST (MyGST).
“Setakat ini, hampir 79,000 syarikat pengeluar sudah mendaftar menerusi MySST dan sasaran kami ialah 80,000 syarikat berdaftar menjelang 1 September ini.
“Pejabat kami sehingga kini dipenuhi dengan pemilik-pemilik syarikat yang mahu mendaftar SST, selain ingin mendapatkan pelbagai maklumat mengenai pelaksanaannya. Hari-hari kami dikunjungi pemilik perniagaan.
“Proses bimbingan dan panduan turut dijalankan kepada pemilik-pemilik perniagaan dan kita akan bantu sedaya upaya,” katanya.