Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) kini memperhebatkan siasatan kes skandal rasuah di Suruhanjaya Syarikat Malaysia ( SSM) yang terbongkar baru-baru ini.

Dijangka beberapa individu lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan yang mungkin disusuli dengan tangkapan dan pendakwaan sekiranya cukup bukti.

Inilah pertama kali dalam sejarah SSM berdepan skandal rasuah dan salah guna kuasa terbesar dalam suruhanjaya tersebut. SSM merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)

Semalam, anak kepada seorang pegawai tertinggi SSM tampil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya ekoran kes siasatan skandal tersebut.

Difahamkan, lelaki berusia 20-an itu menyerahkan dokumen berkaitan kes berkenaan yang dipercayai terlibat dalam skandal projek bernilai RM500 juta melibatkan SSM.

Setakat ini belum dapat dipastikan apakah kaitan lelaki itu kerana belum ada sebarang pengesahan daripada SPRM. Tetapi siasatan dipercayai menjurus kepada kemungkinan salah guna kuasa oleh seorang pegawai tertinggj pengurusan SSM.

Pada 9 Januari lalu, SPRM merampas 69 kotak berisi dokumen perjanjian dipercayai melibatkan dakwaan skandal tersebut di Ibu pejabat SSM, Kuala Lumpur.

Difahamkan, kesemua dokumen tersebut dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan rundingan terus. Ia dikatakan mengakibatkan kerugian di pihak kerajaan dan penipuan kepada orang awam.

SPRM turut menyerbu tiga lagi syarikat di ibu negara yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut.

Salah satu projek tersebut adalah bagi membangunkan satu Sistem Laporan Perniagaan Malaysia ataupun Malaysian Business Reporting System (MBRS) yang bernilai RM16.5 juta.

“ Kami masih menjalankan siasatan, tunggulah ia selesai untuk mengetahui apa hasilnya,”” kata satu sumber SPRM.

Sementara itu difahamkan, kalangan warga kerja SSM menyambut positif langkah SPRM untuk menyiasat dakwaan rasuah dan salah guna kuasa demi membersihkan SSM daripada gejala tersebut.- Malaysiakita