SHAH ALAM, 7 Ogos –Tawaran pengambilalihan Syarikat Pengeluaran Air Sela­ngor Sdn Bhd (SPLASH) berjumlah RM2.55 bilion oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) adalah lebih rendah daripada harga pasaran.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, nilai pengambilalihan itu juga lebih rendah daripada jangkaan harga yang dibuat oleh badan penilai bebas antarabangsa.

“Apabila anda buat tawaran yang tidak boleh diterima pada 2013 dan 2014, akhirnya kita terpaksa tangguhkan (proses pengambilalihan) sehingga lima tahun dan penilaian harga pengambilalihan SPLASH yang sepatutnya antara RM1.9 bilion kepada RM2 bilion telah meningkat menjadi RM3.5 bilion.

“Sebab itu persetujuan antara pembeli dan penjual ialah penyelesaian yang sangat boleh diterima dan ia berdasarkan situasi menang-menang. Akhirnya selepas rundingan, harga yang kita peroleh adalah di bawah harga pasaran dan di bawah penilaian yang dibuat penilai bebas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perbincangan meja bulat Belanjawan 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini bahawa kerajaan negeri telah membayar lebih 10 kali ganda untuk pengambilalihan SPLASH berbanding tawaran nilai pengambilalihan ketika pentadbiran beliau (Abdul Khalid) pada 2013. — Bernama