KUALA TERENGGANU 29 Julai – Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) penuh sesak dengan para peserta seminar Peradaban dan Kecelaruan Gaya Hidup Kontemporari 2018 di sini hari ini yang perasmiannya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Dalam seminar sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, sebanyak tiga kertas kerja turut dibentangkan.

Pembentangan pertama oleh Dr. Mohd. Izwan Md. Yusof dari Jakim dengan tajuk LGBT Dari

Perspektif Islam diikuti Dr. Mahani Nordin @ Kamarudin dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kertas kerja bertajuk LGBT dan Kesihatan.

Seorang lagi pembentang ialah Mohd. Shahlan Sidi Ahmad dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan tajuk LGBT Dari Aspek Psikologi manakala penampilan Mohd. Khariri Mohamad Ramli dari komuniti LGBT yang telah `berhijrah’ turut mencuri tumpuan.

Kira-kira 300 peserta dari kalangan kaunselor sekolah, wakil jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu menyertai seminar tersebut.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Masri Razali. Program seminar itu juga dalam siri jelajah ke seluruh negara yang antara lain bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran terhadap kecelaruan seks songsang atau isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). – UTUSAN ONLINE