KUALA NERUS, 13 Ogos — Scania (Malaysia) Sdn Bhd (Scania) menerima lebih banyak tempahan bas berbanding trak buatannya bagi pasaran Pantai Timur pada tahun ini.

Pengarah Jualan Asia Tenggaranya, Daniel Tan berkata, permintaan bagi bas menyumbang 50 peratus daripada tempahan manakala trak antara 20 hingga 30 peratus, dan ia dijangka kekal sehingga tahun depan meskipun selepas pelaksanaan Akta Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Sept depan.

“Kebanyakan syarikat penyedia perkhidmatan bas ekspress di Pantai Timur terutama di Terengganu, Pahang dan Kelantan beralih memilih bas buatan Scania susulan pelbagai kelebihan yang dimiliki termasuk aspek keselamatan, penjimatan minyak, kos penyelenggraan yang rendah dan servis selepas jualan  yang memuaskan,” katanya

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis penyerahan dua daripada lapan buah bas Scania kepada Syarikat Agensi Pelancungan dan Adik Beradik Sdn Bhd di kemudahan perkhidmatan Scania, di Gong Badak, di sini, hari ini.

Tan berkata Scania menerima peningkatan tempahan bas ekspress dua tingkat oleh kebanyakan syarikat bas memandangkan ia lebih selesa untuk  perjalanan jarak jauh yang memakan masa yang panjang.

“Selain daripada faktor ruang duduk yang lebih luas dan selesa, bas kita juga dilengkapi kemudahan Wi-Fi dan USB port di setiap tempat duduk penumpang yang memudahkan untuk mereka menggunakan internet sepanjang perjalanan menuju destinasi masing-masing,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Syarikat Agensi Pelancungan dan Adik Beradik Ariffin Daud berkata bas yang diterima itu akan digunakan menjelang perayaan Hari Raya Aidiladha pada minggu depan, manakala baki enam buah lagi dijangka tiba secara berperingkat sehingga bulan Mac tahun depan.

Beliau berkata syarikatnya setakat ini sangat berpuas hati dengan perkhidmatan Scania sejak memulakan pembelian bas pertama pada 2014. — Bernama