KUANTAN, 3 Ogos — Jualan kenderaan berat komersial syarikat automotif Sweden, Scania (Malaysia) Sdn Bhd, melonjak sebanyak 60-70 peratus pada Jun lepas berbanding bulan sebelumnya berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar.

Sambil menyifatkan pasaran sebagai amat aktif, Pengarah Pra-Jualan Scania Asia Tenggara, Tom Kuiphuis berkata pelanggan ternyata mengambil peluang untuk membuat tempahan sepanjang tempoh GST sifar itu.

“Terdapat peningkatan ketara dari segi penghantaran kenderaan sejak awal tahun ini berbanding 2017 dan GST sifar itu ternyata memberi rangsangan tambahan.

“Scania juga bekerja secara konsisten untuk menghantar kenderaan itu kepada pelanggan dalam tempoh yang dijanjikan dan mempunyai jumlah kenderaan mencukupi bagi memenuhi permintaan mereka, ” katanya kepada pemberita bersempena program Hari Terbuka Scania di pusat perkhidmatan syarikat itu di sini, hari ini.

Kuiphuis berkata jumlah penghantaran trak Scania bagi tempoh tujuh bulan pertama 2018 turut meningkat dan menyamai bilangan bagi tempoh sepanjang 2017. — Bernama