KLANG:Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau memang menyokong Raja-raja Melayu dan akan terus mempertahankan sistem pemerintahan beraja (monarki) di negara ini.

Beliau menyatakan pendiriannya itu sebagai menjawab kepada sesetengah pihak yang cuba mempersoalkan perbuatan beliau mencium tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim baru-baru ini sebaik sahaja dia memperolehi Pengampunan Diraja untuk dibebaskan dari penjara.

“Ada pihak yang mengatakan bahawa saya sudah menjadi pro-monarki sebaik sahaja saya bertemu dengan raja-raja khususnya Sultan Johor.

“Negara kita memang negara monarki dan mengiktiraf sistem Raja Berpelembagaan. Maka, saya tiada masalah untuk terus mempertahankan Raja-raja Melayu,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu di dalam ucapannya untuk membantu kempen Pilihanraya Kecil Sungai Kandis di Kampung Jalan Kebun, Klang malam tadi.

Ceramah berkenaan turut menyentuh isu kepentingan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang perlu terus dipertahankan.

Kenyataan berkaitan Bahasa Kebangsaan itu dipercayai sebagai pencerahan dari beliau berhubung isu pengiktirafan Unified Examination Certificate (UEC) sekolah-sekolah Cina yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan orang-orang Melayu kebelakangan ini.

Anwar turut menegaskan bahawa beliau akan terus mempertahankan kepentingan orang-orang Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi negara.-Malaysiakita