Pelakon Rita Rudaini membayangkan aktres Siti Elizad Sharifuddin satu-satunya individu yang layak melakonkan watak dirinya.

Impian itu akan menjadi realiti seandainya buku tentang kisah hidupnya berjudul Kerana Aku Seorang Perempuan diangkat sebagai drama kelak.

“Saya tak nafikan ramai yang berminat untuk menjadikan buku tulisan Tengku Khalidah ini sebagai drama.

“Memandangkan karya ini ditulis sangat baik, dramanya perlukan setaraf atau lebih baik lagi.

“Setakat ini saya membayangkan Siti Elizad satu-satunya pelakon yang boleh membawa watak sebagai diri saya dalam drama itu nanti.

“Karakter dan kredibilitinya sebagai pelakon cukup membuatkan saya kagum,” katanya kepada Gempak.

Rita enggan menjadikan kisah hidupnya yang ingin diangkat menjadi drama selepas ini sekadar satu karya tangkap muat semata-mata.

Dalam perkembangan lain, Rita tampil dengan sebuah drama web berjudul Projek Dapat Baby bergandingan bersama Tony Eusoff, Azhar Sulaiman dan Fikri Ibrahim.

Drama bersiri lapan episod itu boleh ditonton menerusi saluran YouTube dan Facebook Najwa Medispa setiap Isnin dan Sealsa pukul 1 petang.-GEMPAK