KUALA LUMPUR, 9 Ogos — Portal hartanah dalam talian, PropertyGuru Malaysia menawarkan inovasi  ‘PropTech,‘PropertyGuru Mortgage Pre-Qualifier’ yang disasarkan membantu 100,000 rakyat Malaysia yang berdepan kesukaran membeli rumah, berupaya memiliki kediaman sendiri menjelang 2020.

Pengurus Negara syarikat itu, Sheldon Fernandez berkata inovasi itu membantu kalangan pencari hartanah memeriksa kelayakan gadaian dengan jangkaan kelayakan gadaian tertinggi yang berkemungkinan diluluskan oleh pihak bank.

“Kajian kami mendapati 92 peratus rakyat Malaysia mempunyai impian memiliki rumah sendiri namun tidak mampu mencapai matlamat itu kerana permohonan gadaian mereka ditolak,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran PropTech di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Fernandez berkata sebanyak 71 peratus generasi alaf baharu atau generasi Y berusia antara 22 dan 37 tahun tidak mampu memiliki kediaman sendiri walaupun mereka mengutamakan segmen rumah mampu milik berharga antara RM300,000 dan RM500,000.

“Secara keseluruhannya, hartanah ternyata kekal di luar kemampuan kebanyakan segmen di bawah 40 peratus dan pertengahan 40 peratus dengan harga rumah di Malaysia kekal 4.4 kali bagi pendapatan median. — Bernama