Pelakon Syafiq Kyle mengakui mengalami kerugian hampir RM40,000 apabila menjadi mangsa muslihat sindiket penipuan wang haram yang dilakukan menerusi panggilan telefon pada Sabtu lalu.

Menurut Syafiq kejadian tersebut berlaku dengan sangat pantas dan modus operandi yang dilakukan sindiket terbabit begitu meyakinkan.

“Mereka yang menyamar sebagai pihak bank dan pihak berkuasa meminta saya memasukkan wang ke akaun yang diberikan kerana kononnya saya pernah melakukan kesalahan.

“Semuanya berlaku dengan pantas kerana ‘lakonan’ mereka menerusi panggilan telefon bimbit yang diterima benar-benar menjadi.

“Sungguhpun begitu, saya reda dengan apa yang telah berlaku. Mungkin bukan rezeki saya,” katanya.

Tambah Syafiq, dia telah membuat laporan di Balai Polis Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur.-Kosmo Online