KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Industri kayu negara menyumbang sebanyak RM23.2 bilion kepada pendapatan eksport negara tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 4.8 peratus berbanding nilai eksport yang dicatat pada 2016, menurut Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Ketua Pengarah MTIB Datuk Dr Jalaluddin Harun berkata, daripada jumlah tersebut RM8 billion disumbangkan oleh eksport perabot, iaitu satu rekod tertinggi yang dicapai oleh industri.

“Daripada jumlah eksport perabot tersebut, 80 peratus adalah daripada perabot kayu getah,” katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah kecemerlangan perkhidmatan dan persaraan kepada petugas MTIB, hari ini.

Majlis meraikan 35 petugas MTIB itu dirasmikan oleh Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama Datuk Zurinah Pawanteh dan Pengerusi MTIB yang baru dilantik, Wong Tack. — Bernama