KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Kekurangan RM18 bilion dalam bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dilakukan dalam masa satu bulan, tetapi ia tidak dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lalu sejak 1 April, 2015, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Lim berkata Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 10 Mei, 2018, manakala beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan pada 21 Mei, 2018.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan bagaimana Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri membelanjakan RM18 bilion dalam masa tiga minggu atau beliau selaku Menteri Kewangan menghabiskan wang itu dalam masa 10 hari seperti didakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tambahan pula, kekurangan RM18 bilion ini dicatatkan sehingga 31 Mei, 2018.

“Bolehkah Najib buktikan dakwaannya bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah membelanjakan RM18 bilion dalam masa tiga minggu sahaja dan sedangkan undang-undang yang diperlukan untuk membuat bayaran balik adalah dalam masa dua minggu?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim turut mempersoalkan sama ada Najib, yang juga bekas Menteri Kewangan, telah memberikan kuasa penuh kepada Tan Sri Mohd Irwan Siregar Abdullah, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, untuk tidak memasukkan RM18 bilion ke dalam Akaun Amanah Bayaran Balik GST.

“Jika Irwan menafikan bahawa wang bayaran balik GST itu hilang, mengapa pembayar cukai masih lagi tidak menerima bayaran balik dan antaranya sudah menunggu sehingga tiga tahun?” katanya.

Pada Jumaat, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri Subromaniam Tholasy mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah memohon RM82.9 bilion untuk dimasukkan ke dalam Tabung Amanah GST pada mesyuarat bulanan jawatankuasa Tabung Amanah yang dipengerusikan oleh Irwan sejak 2015.

“Ini tidak dilaksanakan oleh Irwan walaupun JKDM telah menuntut pada mesyuarat bulanan yang dipengerusikan oleh Irwan.

“Subromaniam mengesahkan RM19.4 bilion masih lagi belum dipindahkan sehingga 31 Mei, 2018,” kata Lim.

Beliau berkata laporan penuh siasatan dalaman yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang baharu, Datuk Seri Ismail Bakar akan disiapkan secepat mungkin, diikuti dengan cadangan kepada Perdana Menteri dan Kabinet untuk melaksanakan siasatan terbuka yang diketuai oleh ahli profesional.

Lim berkata Kementerian Kewangan akan turut bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyiasat isu itu.

Menurut laporan berita, Najib menafikan pentadbirannya telah menyalahgunakan kredit cukai input RM18 bilion di bawah GST dan mendakwa PH mungkin telah membelanjakan wang itu daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.

— BERNAMA