TUMPAT: “Kejadian berlaku cukup pantas, tidak sampai lima minit, bumbung masjid sekolah (Sekolah Menengah Ugama (Arab) SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz, Bunut Sarang Burung, di sini), diterbangkan angin kencang,” kata Mohd Amirul Ikram Mat Yusop.

Mohd Amirul, 25, yang juga warden asrama sekolah terbabit berkata, dalam kejadian jam 6.15 petang semalam, bumbung tambahan di kaki lima masjid sepanjang 25 meter musnah diterbangkan angin.

Bagaimanapun, katanya, dia bersyukur ketika kejadian kebanyakan pelajar berada di bilik masing-masing.

“Sebaik mereka selesai menunaikan solat Asar dan membaca al-Quran pada jam 5.30 petang, saya sudah arahkan mereka supaya tidak keluar bermain kerana cuaca gelap yang mungkin akan hujan.

“Kebiasaannya, pelajar akan bermain takraw di perkarangan masjid… Alhamdulillah semalam mereka tidak beriadah di situ,” katanya ketika ditemui di SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz, Bunut Sarang Burung, di sini, hari ini.

Beliau yang berada di bangunan pejabat itu sempat melihat bumbung masjid tercabut diterbangkan angin.

“Walaupun ada kira-kira 10 pelajar yang bermain di padang berhampiran pejabat, namun mereka sempat menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pentadbiran sekolah terbabit, Musrahimie Mohd Suhaimin berkata, kerugian dianggarkan berjumlah RM20,000.

“Syukur pelajar saya selamat dan hari ini sesi pembelajaran diteruskan seperti biasa,” katanya kepada BH Online