SHAH ALAM: Saharul Ridzwan mendedahkan dia pernah nekad meninggalkan dunia lakonan akibat dihantui rasa bersalah apabila terpaksa melakukan perkara bertentangan dengan ajaran Islam sejak menjadi anak seni, kira-kira enam tahun lalu.

Bagaimanapun, hasrat Saharul atau nama penuhnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 29, terbantut selepas mendapat pandangan pakar agama berhubung perkara itu.

“Saya nekad meninggalkan dunia lakonan kerana tidak kuat mengatakan tidak kepada beberapa perkara yang saya rasakan salah kalau saya buat. Antaranya babak bersentuhan lelaki dan perempuan walaupun berlapik.

“Saya sudah mempersiapkan diri daripada segi mental dengan memaklumkan kepada isteri supaya bersedia dan terus bersama saya jika saya hilang punca pendapatan.

“Bagaimanapun, selepas merujuk perkara itu kepada pakar agama, mereka mengatakan tidak salah untuk saya meneruskan kerjaya ini. Mereka berpesan, saya boleh terus berlakon asalkan menanam niat, ia adalah suatu cara untuk saya berdakwah melalui mesej yang disampaikan dalam lakonan.

“Pendapat itu disertai dengan hadis dan dalil lalu melegakan saya,” katanya pada majlis tayangan episod akhir drama bersiri Jangan Benci Cintaku bersama peminat di Ecoworld Gallery @ Eco Grandeur di Puncak Alam di sini, malam tadi.

Hadir sama, barisan pelakon iaitu Zahirah MacWilson, Niena Baharun, Azizah Mahzan, Luqman Hafidz, Esma Daniel dan Daler Yusof.

Tambah Saharul yang juga bekas finalis Hero Remaja 2012, selepas mendapatkan nasihat tokoh agama, barulah dia yakin menyatakan prinsipnya tidak melakonkan babak bersentuhan tanpa rasa bersalah.

“Untuk drama akan datang, saya sudah pun menyatakan prinsip saya itu kepada pengarah… Alhamdulillah mereka menghormatinya.

“Apabila buat keputusan begini, saya sedar banyak cabaran yang bakal mendatang. Kalau nak kata saya sudah berubah sepenuhnya, saya tak berani nak jamin apa yang berlaku esok atau lusa.

“Cuma saya akan cuba yang terbaik saja,” ujar pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian Hati Perempuan ini.-BH Online