KUALA LUMPUR 17 Ogos – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) menubuhkan pasukan khas bagi mengendalikan tuntutan insurans susulan insiden membabitkan bas Rapid KL di AU2 Keramat, di sini malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Azam Omar berkata, pemilik kenderaan yang berhasrat untuk mengemukakan tuntutan boleh berbuat demikian beserta dokumen berkaitan melalui emel di alamatsuggest@rapidkl.com.my.

Mengulas mengenai kejadian itu, beliau berkata, bas yang terbabit dalam insiden berkenaan disahkan dalam keadaan baik semasa digunakan.

Katanya, berdasarkan kepada laporan polis yang dibuat malam tadi, insiden bermula apabila bas tersebut terlibat dalam satu kemalangan kecil di Jalan Enggang AU2, Taman Keramat.

“Kapten bas dilaporkan meneruskan perjalanan sambil dikejar oleh sekumpulan orang awam.

“Semasa dikejar, bas tersebut dilaporkan melanggar beberapa kenderaan di sepanjang jalan sehingga tiba di susur keluar Jalan Ampang ke Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) di mana kapten bas dilaporkan dipukul oleh beberapa orang awam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Azam berkata, pihaknya kesal dengan insiden itu dan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan polis bagi menyiasat kejadian tersebut.

“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu keputusan siasatan rasmi polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE