KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Penyusunan pengurusan baharu Khazanah Nasional Bhd akan memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera oleh dana pelaburan strategik negara itu dalam syarikat strategik dipertahankan dan dipertingkatkan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata pegangan ekuiti tersebut dalam syarikat strategik telah dicairkan akhir-akhir ini menyebabkan pegangan dalam syarikat strategik, termasuk syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd, Telekom Malaysia dan beberapa syarikat utiliti lain berkurangan.

Katanya dasar memperkasakan Bumiputera akan diteruskan dan diperkukuhkan berdasarkan pencapaian pemilikan ekuiti yang masih rendah seperti yang ditunjukkan oleh indikator sosioekonomi, apabila pemilikan ekuiti sektor korporat masih belum mencapai 30 peratus.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya matlamat itu sejajar dengan tujuan asal penubuhan Khazanah, iaitu menguasai aset-aset strategik kerajaan termasuk syarikat utiliti. — Bernama