JAKARTA, 2 Ogos — AirAsia sedang mempertimbang untuk menambah tiga lagi destinasi ke laluan Malaysia-Indonesia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

“Kami sedang berbincang untuk Belitung dan juga merancang untuk ke Banyuwangi dan Raja Ampat,” katanya kepada media selepas mengumumkan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke Lapangan Terbang Silangit di Tapanuli, Sumatera Utara.

Fernandes berkata, syarikat penerbangan kos rendah itu sangat yakin mengenai Indonesia kerana ia merupakan pasaran yang besar untuk kumpulan tersebut.

Menurut Kementerian Pelancongan Indonesia, 25 peratus pelancong antarabangsa kini datang ke Indonesia melalui Kumpulan AirAsia.

Fernandes berkata, pelancong yang melancong ke dan dari Indonesia dapat memanfaatkan perkhidmatan pertukaran penerbangan AirAsia untuk transit yang lancar di hab Kuala Lumpur ke lebih daripada 22 destinasi antarabangsa. — Bernama