KAJANG: Penyanyi, Izzue Islam, tidak kisah jika ada pihak akan mempersendakan dan mempersoalkan tindakan beraninya untuk tampil bersama lagu berbahasa Inggeris berjudul My City.

Menurut Izzue, 28, dia merakamkan lagu terbabit bukan kerana bersikap ‘syok sendiri’, tetapi lebih kepada mencapai misi dan visi peribadi.

“Saya menghasilkan lagu My City sebagai usaha mempromosikan negeri kelahiran saya, iaitu Kelantan Darul Naim.

“Pada awalnya, lirik lagu ini ditulis dalam bahasa Melayu, dengan memuatkan sedikit loghat Kelantan di dalamnya. Bagaimanapun, berikutan liriknya lebih kepada pelancongan, tercetus idea untuk menukar seni katanya ke bahasa Inggeris.

“Saya hasilkan sendiri melodi lagu ini, manakala liriknya ditulis bersama isteri (Nurinafilah Waharudin atau Awin). Dialah yang banyak membantu dalam penulisan lirik terbabit,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Aura White, di sini.

Kata Izzue, biarpun berdepan kesukaran, dia tetap berusaha menyanyikan lagu berkenaan dengan sebaiknya.

“Saya juga gembira kerana selepas ia dikongsikan di laman YouTube, kebanyakan peminat memberikan maklum balas positif,” katanya.

Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Izzul Islam Mazlan yang juga seorang pelakon ini, lagu terbabit sebenarnya sudah lama dihasilkan, namun baru sekarang hendak dipromosikan.

“Awalnya, saya mahu mengeluarkan lagu ini pada bulan puasa lalu. Namun, hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan kerana ketika itu saya juga baru muncul dengan sebuah lagu raya.

“Kini, muzik video My City juga sudah pun siap dan hanya menunggu waktu untuk ditayangkan,” ujar Izzue yang bakal muncul dengan filem XX Ray 3 tidak lama lagi.-BH Online