PUTRAJAYA: Pengalaman berdepan tohmahan netizen selepas mengambil keputusan mengundurkan dari daripada produksi Marvel Studios membuatkan Raja Ilya enggan lagi bersikap terbuka.

Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, 32, berkata, insiden itu memberi pengajaran kepadanya supaya jangan lagi berkongsi setiap perkembangan termasuk hal peribadi selagi belum ada hitam putih.

“Saya tidak terkilan atau kecewa selepas terpaksa menolak tawaran membintangi naskhah Hollywood itu. Namun, saya ralat dengan sikap segelintir pihak yang menuduh saya cuba meraih publisiti murahan sedangkan realitinya mereka tidak tahu apa-apa.

“Jadi, sekarang saya rasa lebih baik saya kongsi sekadar yang perlu mengenai kerjaya seni. Ini menunjukkan segala kecaman atau tuduhan tidak melemahkan saya.

“Pengajaran yang saya terima cukup besar dan jadi peringatan. Ini kerana di luar sana bukan semua orang suka kita dan bertepuk untuk lihat kita jatuh,” katanya kepada BH Online.

TIMBALAN Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Roslan Wahab semasa menyampaikan watikah kepada Raja Ilya pada majlis Pemakaian Pangkat & Penganugerahan Watikah Lantikan Pegawai Bersekutu APM di Putrajaya. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Berkongsi cerita terbaru, bintang filem Apallam itu berkata, dia dan rakan kongsi semakin rancak mengatur projek jangka panjang untuk syarikat produksi mereka dengan menerbitkan filem usahasama, akhir tahun ini.

“Apa yang boleh saya katakan filem berbajet tinggi ini bakal direalisasikan bersama sebuah syarikat dari Indonesia. Skripnya pula dihasilkan pasukan saya sendiri.

“Kami sudah melalui proses fasa ke tiga pra produksi terutama memperkemaskan lagi skrip dan memilih barisan pelakon. Boleh dikatakan sebahagian besarnya pelakon Indonesia manakala tenaga belakang tabir digerakkan pasukan Malaysia,” katanya yang bergelar penerbit.

Dalam perkembangan lain, kelmarin, Ilya menerima pentauliahan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Wilayah Persekutuan. Dia menerima pangkat Kapten Bersekutu (PA).

Selain Ilya, seorang lagi pelakon, Adam Shahz turut menerima tauliah pada majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Watikah Lantikan Pegawai Bersekutu (CDERT-Ohhsem Network) APM, di sini. Adam pula menerima pangkat Leftenan Bersekutu (PA).-BH Online