LANGKAWI 4 Ogos – Lebih banyak pusat tarikan akan diwujudkan di Langkawi dalam usaha memastikan pulau peranginan popular negara ini terus menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, penganjuran sesuatu acara termasuk bertaraf antarabangsa seperti Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) tidak memadai untuk dijadikan tarikan utama ke pulau ini kerana tempohnya yang singkat.

Tambahnya, masih terdapat banyak tempat di Langkawi mampu dibangunkan sebagai pusat tarikan termasuk persisir pantai, pergunungan dan kawasan paya bakau.

“Langkawi masih ada tanah untuk tujuan ini (pembangunan pelancongan) dan sekarang kita dapat jadikan kawasan taman tema.

“Walaupun kita ada LIMA namun ia diadakan dalam jangkamasa pendek iaitu empat hari sahaja.

“Kita perlu projek pelancongan yang dapat menarik tarikan pelancongan sepanjang tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian pusat tarikan berkonsepkan geopelancongan baharu, Langkawi Nature Park di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Pengerusi Sentorian Group Bhd., Datuk Aznam Mansor.

Tambah beliau, pembangunan Langkawi berjaya dilonjakkan saban tahun dengan kehadiran sehingga 3.6 juta pelancong ketika ini.

“Kita nak kekalkan hutan bakau seboleh-boleh selamanya. Namun kalau sesuatu menarik itu tidak dapat dilihat tiada gunanya.

“Saya yakin jika pelancong meningkat penduduk Langkawi akan menikmati manfaatnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE