Pulau Pinang dilanda jerebu sederhana

Pulau Pinang dilanda jerebu sederhana

PULAU PINANG 14 Ogos – Hampir keseluruhan negeri ini khususnya di sekitar Georgetown dan Seberang Jaya dilanda jerebu sederhana yang semakin ketara menjelang petang ini.

Jarak penglihatan khususnya di atas Jambatan Pulau Pinang juga dilaporkan semakin berkurangan dari kedua-dua arah.

Sementara itu, dua kawasan di negeri ini mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) pada kategori tidak sihat setakat pukul 4 petang tadi.

Bacaan IPU di stesen Seberang Perai direkodkan pada tahap 56 iaitu paling tinggi untuk hari ini selepas melepasi bacaan 50 pada pukul 12 tengah hari tadi.

Turut merekodkan bacaan melepasi paras udara tidak sihat adalah stesen Seberang Jaya iaitu pada tahap 54 pada pukul 4 petang tadi berbanding 46 pada pukul 12 tengah hari tadi.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Afif Bahardin menyeru orang ramai supaya tidak panik dengan keadaan semasa jerebu ketika ini.

Menurut beliau, bagi individu yang sihat terdedah beberapa hari dalam keadaan jerebu kebiasaannya tidak akan mendatangkan masalah kesihatan yang serius selain kerengsaan kepada mata,telinga dan tekak.

“Dalam kebanyakan kes, orang awam masih selamat jika mereka masih mahu meneruskan aktiviti luaran mereka,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai minum air yang banyak bagi mengekalkan dehidrasi dan individu yang mempunyai masalah jantung dan pernafasan yang kronik harus sentiasa memastikan ubat sentiasa dalam simpanan sekiranya keadaan memerlukan. – UTUSAN ONLINE

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...