Proton untuk pasaran China

Proton untuk pasaran China

HANGZHOU 18 Ogos – Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuarakan harapannya supaya usahasama strategik antara Proton dan pengeluar kereta Geely China, akan dapat meningkatkan proses menghasilkan kereta Proton yang lebih baik.

Perdana Menteri mengambil mak­lum mengenai kemajuan besar yang telah dibuat oleh Zhejiang Geely Holding Group dari segi mengeluarkan kereta berkualiti walaupun memasuki perniagaan kereta lebih lewat berbanding Proton.

“Semasa Proton diperkenalkan, Geely belum wujud. Kita menghantar enam kereta Proton ke sini (China) dan kita sangat bangga atas pencapaian itu.

“Namun, seperti yang anda tahu, Geely sudah menandingi kita dari segi kualiti dan produktiviti industri kita. Saya percaya Proton boleh meraih manfaat daripada kerjasama dengan Geely,” katanya selepas menyaksikan perjanjian antara Proton dengan Geely di ibu pejabat Geely di sini hari ini.

Dr. Mahathir kini dalam lawatan rasmi lima hari ke China, yang turut membawanya ke Beijing.

Dr. Mahathir juga berharap ilmu kejuruteraan yang bakal diperoleh menerusi usaha sama itu dapat membantu meningkat­kan produk Malaysia seperti kereta.

Perdana Menteri berkata, industri automotif sentiasa menambah baik dari segi teknologi dan kualiti, dan dalam hubungan ini Proton sudah mengikutinya, dengan meningkatkan reka bentuk dan kualiti keretanya.

“Kereta sedia ada sebenarnya boleh dipasarkan di banyak tempat,” katanya dan menambah ke­reta Proton tidak dapat dipasarkan di banyak negara Barat kerana tidak memenuhi standard pelepasan Euro 5.

“Namun kita percaya jika kita dapat memperoleh enjin baharu dan meningkatkan kualiti, kita akan dapat memasarkannya dan bersaing dengan jenama lain. Bekerjasama dengan Geely akan menambah baik kereta Proton,” kata Dr. Mahathir.

Katanya, berdasarkan apa yang beliau saksikan, Geely yang menguasai 49.9 peratus kepentingan dalam Proton, berkeupayaan untuk me­ngeluarkan kereta elektrik bersama Proton untuk pasaran ASEAN dan melepasinya.

Perjanjian ditandatanga­ni oleh kedua-dua syarikat hari ini adalah untuk penubuhan usa­hasama, yang membuka jalan bagi Proton untuk memasang dan memasarkan kereta di China.

Dr. Mahathir mengakui bahawa Proton berusaha memasuki pasaran China sejak beberapa waktu.

“Namun kita mengeluarkan kereta pemanduan sebelah kanan yang tidak diterima di China, oleh itu, kita perlu mengeluarkan kereta pemanduan kiri, kerana kos di sini lebih rendah daripada di Malaysia.

“Selain itu, saya fikir kita perlukan kereta berkualiti dan yang akan dihasilkan oleh Proton bersama-sama dengan Geely akan lebih berkualiti berbanding yang ada di Malaysia sekarang,” kata Perdana Menteri. – BERNAMA

 

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...