PUTRAJAYA, 7 Ogos – Kementerian Industri Utama akan terus giat mempromosikan minyak sawit Malaysia ke dalam pasaran berpotensi susulan cadangan Kesatuan Eropah untuk menghentikan penggunaan minyak sawit bagi sektor pengangkutan menjelang 2030.

Menteri, Teresa Kok Suh Sim berkata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) sedang berunding dengan Filipina, Turki, Iran dan negara Afrika.

“Pasaran baharu ini mempunyai potensi yang amat besar dan belum dimanfaatkan. Susulan langkah EU itu, Malaysia perlu meneroka dan mengurangkan kesan tersebut menerusi pengeksportan ke pasaran baharu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perundingan Bajet 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata, India, China dan negara Eropah merupakan pembeli terbesar minyak sawit.

Tahun lepas, Parlimen Eropah mencadangkan untuk menghapuskan keseluruhan penggunaan minyak sawit bagi pengangkutan mulai Januari 2021. — Bernama