JOHOR BAHRU, 5 Ogos — United Malayan Land Bhd (UMLand) hari ini memperkenalkan secara rasmi projek Suasana Iskandar Malaysia (Suasana IM) – sebuah pembangunan bersepadu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM333 juta di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru.

Projek yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Johor itu membabitkan pembinaan tiga komponen iaitu Amari Hotel, pangsapuri perkhidmatan Suasana Iskandar JB dan ruang perniagaan Zenith Lifestyle Centre yang terletak di Jalan Trus dan Jalan Wong Ah Fook.

Dengan keluasan tapak pembinaan 1.42 ekar, ia menempatkan Amari Hotel di Menara 1 dan pangsapuri perkhidmatan Suasana Iskandar JB jenis pegangan bebas di Menara 2.

Hotel bertaraf lima bintang itu setinggi 18 tingkat dan menawarkan 242 bilik bertemakan tradisi Thailand.

Pangsapuri Suasana Iskandar JB pula terdiri daripada 339 unit membabitkan 29 tingkat dan menawarkan perkhidmatan rumah pintar yang dibangunkan dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics. — Bernama