Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Seri Setia menjadi ujian buat anggota Umno menunjukkan keikhlasan membantu calon PAS, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

Beliau juga menyifatkan bantuan itu sebagai wajar memandangkan PAS telah memberi laluan kepada Umno untuk bertanding pada PRK Sungai Kandis awal bulan lalu, menentang PKR.

“Kenapa sekarang Umno baru hendak berbaik dengan PAS? Ini kerana kita ada banyak persamaan dengan PAS apabila kita ditekan dengan pelbagai isu melibatkan agama, raja dan hak istimewa orang Melayu,” katanya.

Mohd Sharkar yang juga ketua bahagian Umno Temerloh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program sukarelawan badan bukan kerajaan Wanita Islam dan Parti Politik Solidariti Tolak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Temerloh hari ini.

Beliau juga berharap penyokong PAS boleh menerima bahawa rencah politik pada masa kini memerlukan kedua-dua parti bergerak seiring dalam beberapa isu.

“Kita kena berfikir di luar kotak dan berpolitik lebih matang… sebab itu saya sarankan kerjasama ini bukan hanya di peringkat tertinggi tetapi turut meliputi akar umbi,” katanya.

PRK Seri Setia diadakan ekoran kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat barah usus yang dihidapinya sejak dua tahun lepas.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, Shaharuddin yang mewakili PKR menang dengan majoriti 19,372 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Seri Setia diadakan pada 8 Sept ini dengan proses penamaan calon berlangsung hari ini.-Bernama