Prestasi ekonomi Malaysia dalam 100 hari

Prestasi ekonomi Malaysia dalam 100 hari

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Pada 17 Ogos lalu, genap 100 hari Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu Malaysia. Dalam tempoh itu, beberapa pembaharuan dilaksanakan sebagai mengotakan janji manifesto 100 hari. Berikut adalah analisis UtusanBiz:

Pasaran saham

PH secara dasarnya mengambil alih negara pada ketika tekanan luaran semakin memuncak dan ditambah pula dengan beberapa keputusan dasar di peringkat domestik yang kabur. Ini terbukti dalam sorotan Mei yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM)

pada 29 Jun lalu mendapati pasaran kewangan domestik me­ngalami tekanan jualan daripada pelabur asing disebabkan oleh faktor dalam dan luar negeri serta sentimen penghindaran risiko (risk-off) dalam pasaran serantau.
Faktor utama berpunca daripada jangkaan kenaikan kadar faedah yang lebih cepat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS), dolar AS lebih kukuh dan ketegangan perdagangan yang berterusan. Di dalam negeri, pelabur terus dengan sentimen berhati-hati kerana menunggu pendirian dasar yang lebih jelas selepas pilihan raya.

Kesannya, FBM KLCI merosot 6.9 peratus pada Mei, berikutan ketidakpastian yang menjejaskan pasaran terutamanya sektor pembinaan. Dalam pasaran tukaran asing, ringgit menyusut nilai seba­nyak 1.4 peratus berbanding dolar AS disebabkan aliran keluar portfolio bersih pada Mei. Walau bagaimanapun, penyusutan nilai ringgit adalah sejajar dengan mata wang serantau.

Dalam tempoh minggu pertama selepas PRU-14 (berakhir 18 Mei), ia merekodkan aliran keluar sebanyak RM2.48 bi­lion ekuiti tempatan. Ia merekodkan jualan paling tertinggi di Malaysia sejak 23 Ogos 2013 dengan aliran keluar bersih sebanyak RM2.9 bilion.
Bagi sepanjang Jun pula, pasaran kewangan domestik terus mengalami aliran keluar bukan pemastautin di tengah-tengah kebimbangan terhadap perang perdagangan yang timbul semula dan jangkaan bahawa dasar monetari AS akan kembali kepada keadaan yang wajar pada kadar lebih cepat. Dalam bulan itu, indeks FBM KLCI merosot 2.8 peratus dan ringgit menyusut nilai 0.5 peratus berbanding dolar AS.

Pada 23 Mei lalu, pasaran bursa tempatan menerima natijah yang teruk apabila menjunam 40.78 mata ke paras 1,804.25 mata susulan laporan kerajaan mengenai hutang negara yang mencecah RM1 trilion. Kementerian Kewangan pula terlewat mengemukakan pecahan kedudukan hutang sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur.

Belum pun surut, pasaran saham Malaysia berdepan situasi terburuk di rantau ini pada 30 Mei hampir me­nyamai kejadian pada Oktober 2008. Indeks FBM KLCI ditutup pada 1,719 mata selepas menyusut 56.56 mata susulan pengumuman kerajaan untuk membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

MIDF Research menunjukkan indeks FBM KLCI menyusut sembilan peratus pada suku kedua 2018 (5.9 peratus pada separuh pertama tahun ini) dengan aliran keluar dana asing berjumlah RM6.82 bilion.
Berdasarkan laporan Bloomberg, pada 22 Jun pula, pasaran saham tempatan mencatat prestasi pa­ling buruk di rantau ini apabila indeks FBM KLCI jatuh satu peratus ke paras 1,692.32 mata, menjadikan penurunan 11 peratus dalam tempoh sejak dua bulan lalu. Ia juga mencatat penurunan sembilan hari berturut-turut, paras terendah sejak Februari 2017.

Pada 12 Julai lalu, penanda aras saham tempatan, indeks FBM KLCI buat pertama kali ditutup melebihi paras 1,700 mata sejak 20 Jun 2018 selepas kerajaan mengumumkan untuk meneruskan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT 3) yang menelan kos sebanyak RM16.63 bilion.

Ia melonjak 14.80 mata ke paras 1,703.57 mata yang turut menyaksikan saham syarikat-syarikat pembinaan yang terlibat dalam projek berkenaan juga naik, de­ngan George Kent Malaysia Bhd. (George Kent) mencatat peningkatan 20 sen kepada RM1.29 sesaham manakala Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) pula meningkat 16 sen kepada 74 sen sesaham.
Bagaimanapun, pada 8 Ogos lalu, pasaran tempatan melepasi paras 1,800 mata dengan meningkat 13.64 mata kepada 1,804.73 mata daripada 1,791.09 mata ketika ditutup Selasa. Pasaran tempatan jatuh di bawah 1,700 mata sejak 20 Jun lalu sebelum kembali menokok melepasi paras tersebut pada 12 Julai 2018. Ia kembali menyusut di bawah 1,800 mata setelah jatuh 22.41 mata kepada 1,783.34 mata pada 14 Ogos.

Genap pemerintahan 100 hari PH, Jumaat lalu, FBM KLCI menokok 6.2 mata atau 0.35 peratus kepada 1,783.47 mata dan kebanyakan penganalisis berpendapat lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China selama lima hari (bermula 17 Ogos) akan kembali mengukuhkan keyakinan pelabur.
Ringgit

Pada 8 Mei, iaitu kali terakhir pasaran ditutup ringgit berada pada RM3.9480 berban­ding dolar AS. Pasaran yang dibuka semula Isnin (setelah ditutup tiga hari iaitu hari pengundian diikuti dua hari cuti umum meraikan kejayaan PH) mengukuh ke paras RM3.9400 sebelum kembali menyusut dan semakin lemah hingga mencecah RM4.000 pada 19 Jun lalu.

Diimbas 2017, ringgit me­ngukuh 10 peratus setelah memulakan dagangan awal tahun pada paras RM4.49 berban­ding dolar AS yang dicatatkan pada 3 Januari 2017 meneruskan implikasi buruk yang dihadapi sepanjang 2016 kesan daripada spekulasi pasaran, pengukuhan do­lar AS dan ketidaktentuan geopolitik.

BNM dalam kenyataan membe­ritahu rizab antarabangsa setakat 29 Jun 2018 berjumlah AS$104.7 bilion (RM423.05 bilion) menyusut berbanding AS$107.9 bilion (RM435.98 bilion) pada 14 Jun 2018. Ia semakin menyusut kepada AS$104.5 bilion (RM425.99 bilion) pada 31 Julai 2018.

Menurut BNM, rizab itu mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi perubahan penilaian semula pertukaran asing berikutan pengukuhan nilai dolar AS berbanding pelbagai aset rizab mata wang asing yang dipegang oleh BNM.

Data AmBank Research menunjukkan ringgit menyusut sebanyak 0.6 peratus kepada RM4.0652 berbanding dolar AS sepanjang Julai dan turut menerima tempias daripada aliran keluar asing di bursa tempatan sebanyak RM1.7 bi­lion pada bulan tersebut.
Prestasi ringgit semakin lemah apabila mencecah RM4.1030 berbanding dolar AS apabila dibuka dalam dagangan pagi 15 Ogos, terendah dalam tempoh lapan bulan sejak 29 November 2017 setelah ditutup rendah pada RM4.0970 pada 14 Ogos dise­babkan tekanan krisis di Turki.

Selain perang dagangan antara AS dan China, penganalisis juga melihat pertikaian politik antara AS dan Turki juga sesuatu yang luar biasa apabila melibatkan penahanan paderi AS. Pada Jumaat, ringgit ditutup lebih rendah pada RM4.1010 berbanding dolar AS.

Ia bukan sahaja didorong oleh faktor luaran tetapi sentimen masih kekal lemah berikutan pengumuman prestasi ekonomi yang rendah pada suku kedua, berkembang 4.5 peratus, jauh mengatasi jangkaan penganalisis.
Projek Mega

Selepas kenyataan membatalkan projek HSR pada 30 Mei lalu, ia menyaksikan saham-saham syarikat pembinaan yang berkaitan jatuh merudum terutama YTL Corporation, Gamuda dan MRCB.

Daripada semua projek mega yang disemak semula, hanya projek mega Tun Razak Exchange (TRX) yang terselamat. Tertanya-tanya juga apa akan jadi pada tapak TRX jika kerajaan hentikannya tiba-tiba, setelah kesesakan teruk dihadapi pengguna Jalan Tun Razak, adakah ia hanya akan menjadi kolam takungan nya­muk?

Bagi Laluan Tiga MRT (MRT3), keputusan sudah pun dibuat. Impian untuk melihat pengangkutan awam bersepadu di Kuala Lumpur mungkin akan mengambil masa yang lama lagi kerana dilaporkan sebelum ini, MRT3 akan menghubungkan laluan MRT1 (sudah siap) dan MRT2 (dalam proses pembinaan).

Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pula, nasibnya memang tidak baik. Kementerian Kewa­ngan pada 3 Julai lalu melalui Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) mengeluarkan arahan penggantungan kepada kontraktor utama, China Communications Constructions Co. Ltd. (CCCC) dan China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. Ini adalah susulan tindakan kerajaan untuk menilai semula projek itu yang dikatakan menelan kos RM81 bilion.

Lebih memburukkan keada­an dilaporkan hampir separuh daripada 2,250 pekerja ECRL telah diberhentikan.

Selepas 100 hari PH berak­hir, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam membuat keputusan untuk membatalkan ECRL dan projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) dengan China yang bernilai berbilion ringgit.

HSR setakat ini sejujurnya masih samar-samar. Sekejap diberhentikan dan sekejap pula ditangguhkan. Disebabkan tiada kata putus dalam projek berkenaan, Singapura dilaporkan menanggung lebih daripada S$6 juta (RM17.99 juta) pada Jun dan menjangka menanggung tambahan S$6 juta pada Julai.

Kos tersebut akan meningkat dengan tinggi seiring de­ngan masa dan menjangkakan mulai Ogos hingga penghujung Disember, Singapura perlu membelanjakan sekurang-kurangnya S$40 juta (RM119.95 juta) atau lebih.
Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 16 Ogos lalu memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan bagi meneruskan perbincangan mengenai kedudukan HSR dan menyifatkan pertemuan sebelum ini adalah positif.

Kedua-dua projek mega ini ‘agak rumit’ kerana melibatkan hubungan antara dua negara iaitu China dan Singapura yang sewajarnya diperhalusi.

Bagi LRT3 pula, kerajaan akan meneruskan projek berke­naan dengan kos seba­nyak RM16.63 bilion berban­ding RM31.65 bilion sebelum itu. Malah, MRCB dan George Kent (M) Bhd. kekal sebagai rakan pelaksana projek (PDP) tersebut.
Entiti kerajaan

Tan Sri Muhammad Ibrahim (Gabenor BNM), Tan Sri Abdul Wahid Omar (Pengerusi Permodalan Nasional Berhad-PNB), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Pengerusi Lembaga Tabung Haji), Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly (CEO TM) dan Datuk Seri Johan Abdullah (CEO Lembaga Tabung Haji) adalah peneraju utama entiti kerajaan yang meletakkan jawatan atau tamat kontrak sejak PH memenangi PRU-14.

Lebih mengejutkan apabila CEO yang cukup low profile dan jarang memberi kenyataan kepada media, Khairul Kamarudin melepaskan jawatan sebagai CEO BIMB Holdings Bhd. (BIMB) berkuatkuasa serta-merta, hanya setahun selepas dilantik pada 14 Jun 2017.

Selepas menerima kritikan daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed mengenai peranan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), kesemua sembilan ahli lembaga pengarahnya meletakkan jawatan termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar.

Susulan itu, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan 30 Julai, melantik lima ahli lembaga pengarah Khazanah yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Turut dilantik sebagai Pe­ngarah ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Tan Sri Mohd. Hassan Marican, Dr. Sukhdave Singh dan Goh Ching Yin. Menggantikan Azman, ialah Datuk Shahril Ridza Ridzuan, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Beliau akan bertugas mulai 20 Ogos 2018.

Tempat beliau pula digantikan dengan Tunku Alizakri Alias, yang sebelum itu merupakan Ketua Pegawai Strategi KWSP.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai Pengerusi PNB berkuat kuasa 29 Jun 2018.

Lembaga Tabung Haji pula melantik bekas Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Mohammed Nor Md. Yusof sebagai Pengerusi manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Datuk Seri Zukri Samat sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu.

Felda turut memperoleh pene­raju baharu apabila Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd. Nor dilantik sebagai Pengerusi berkuat kuasa 27 Julai lalu.-Utusan

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...