KUALA LUMPUR -Pertubuhan Kesejahteraan dan Hak Rakyat (Power) menyokong pelantikan Dr. Azman Hussin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Pengerusinya, S. Gobi Krishnan berharap Azman dapat menerapkan segala ilmu kepemimpinan yang ada dalam dirinya untuk membawa SSM ke mercu kegemilangan.

Ujarnya, perkara tersebut penting tatkala SSM dibelenggu dengan isu salah guna kuasa dan rasuah melibatkan pegawai kanannya.

“Ini menuntut langkah-langkah pembersihan dan pembetulan seawal mungkin sebelum gejala rasuah dan salah guna kuasa dikhuatiri menjadi barah di SSM.

“Kami yakin Azman akan memberi keutamaan dalam isu tersebut bagi mendukung integriti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Gobi Krishnan mengucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berjaya membongkar gejala rasuah dan salah guna kuasa di dalam SSM.

Katanya, walaupun siasatan telah berlarutan hampir setahun dan status siasatannya kini menjadi tanda tanya pihaknya percaya SPRM akan dapat menyelesaikan kes tersebut dan mengheret pesalah ke muka pengadilan.

“Rakyat dan rata-rata kakitangan SSM menanti tindakan seterusnya dengan prinsip keadilan. Cabaran menanti Azman dalam memulihkan imej SSM cukup besar.

“Kami mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada Kerajaan Pakatan Harapan kerana komited untuk memulihkan imej SSM dan mengambil keputusan tepat dengan pelantikan Azman,” katanya.