KUALA LUMPUR:Kehidupan berpoligami atau perkongsian suami oleh pasangan isteri yang ‘bermadu’, bukanlah satu isu yang perlu dipandang negatif oleh kebanyakan wanita Islam.

Sebaliknya amalan sunnah itu adalah sebahagian daripada ajaran agama Islam yang halal untuk dilaksanakan selagi ia mematuhi hukum syarak dan selari dengan amalan kekeluargaan Islam.

Presiden Pertubuhan Keluarga Harmoni (Pakar), Datuk Md. Lutfi Yusof berkata poligami masih belum dapat diterima secara terbuka oleh masyarakat Islam negara ini khususnya wanita kerana terlalu prejudis.

“Masyarakat Islam tidak boleh memandang negatif terhadap poligami semata-mata kerana tanggapan berkongsi suami atau bernikah dengan suami orang adalah suatu yang tidak baik.

“Tidak semua keluarga poligami itu memberikan kesan sosial yang negatif kepada institusi keluarga sebaliknya banyak juga pasangan berpoligami telah mewujudkan satu keluarga besar yang harmoni,” katanya

Beliau menegaskan perkara itu pada Forum Mengapa Saya Memilih Suami Orang anjuran pertubuhan itu di sebuah hotel dekat sini malam tadi.

Forum berkenaan menyaksikan sambutan luar jangka dari para peserta termasuk dari luar Kuala Lumpur apabila 150 telah hadir walaupun pihak penganjur hanya menjangkakan hanya 50 peserta sahaja pada awalnya.

Peserta yang hadir terdiri daripada wanita berkerjaya, lelaki berpoligami, mahasiswa, pengkaji sains sosial, penulis blog serta penulis buku.

Forum selama dua jam itu mengupas isu persepsi dan realiti kehidupan isteri-isteri yang bermadu berdasarkan pengalaman mereka termasuk dari kalangan yang bermadu dua, tiga atau empat orang, berkongsi satu suami.

Ahli panel terdiri daripada Peguam Syarie, Sharifah Mohd. Jahaya penceramah bebas; Sumaiyah Sulaiman,Nurul Adni Adnan serta seorang ikon ‘isteri bermadu’ yang tular di media sosial baru-baru ini iaitu Haryani Ithnen.

Seorang peserta, Mohd Nuzul Khairuni, 40, dari Terengganu berkata forum itu memberi pencerahan kepada beliau tentang kemanisan dalam kehidupan bermadu oleh isteri-isteri, menyangkal anggapannya sebelum ini bahawa wanita bermadu itu hidup dalam kesedihan.

Pada majlis berkenaan, Md.Lutfi turut melancarkan secara rasminya penubuhan Pakar dan mengalukan individu yang ingin menjadi ahli atau ingin menyumbang dana dan idea kearah menggerakkan pertubuhan itu.-MalaysiaKita