KUALA LUMPUR 29 Ogos – Pemansuhan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pengenalan cukai soda dilihat tidak mampu menggerunkan jentera Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia yang akan berlangsung secara serentak pada 8 September ini.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Adhif Syan Abdullah berkata, kedua-dua isu membabitkan kos sara hidup rakyat itu diibaratkan sebagai umpan yang tidak mengena untuk meraih simpati.
“Satu kajian sedang dilaksanakan untuk kita tukar kepada sistem yang lain. Rakyat perlu lihat kita ada cara untuk menggantikan BR1M.
“BR1M, cukai soda dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang digunakan pihak lawan untuk meraih sokongan dan simpati tidak akan memberi kesan terhadap pengaruh PH dalam mendepani PRK DUN Balakong dan Seri Setia,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil berkata demikian selepas merasmikan pembukaan Bilik Bitara Kriket di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Putra Perdana, Puchong dekat sini hari ini.
Yang turut hadir guru besar sekolah berkenaan, Rohaidah Mohd. Ali; Penyelia Sukan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sepang, Aziyan Abu Bakar dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Taman Putra Perdana, Khairul Azhar Mohammad Suffian.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan bahawa BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.
Pakatan Harapan turut menimbangkan untuk melaksanakan cukai soda bagi menggalakkan gaya hidup sihat, di samping menampung pendapatan negara.
Sementara itu, Rohaidah berkata, Bilik Bitara Kriket yang diusahakan pihaknya itu berperanan untuk memperkenalkan sukan kriket kepada warga sekolah dan masyarakat setempat yang mana menawarkan pelbagai maklumat berkaitan, di samping memaparkan pencapaian pasukan sekolah.
Katanya, sejajar dengan konsep seluruh sekolah adalah pusat sumber, pusat sehenti terbabit akan diketengahkan bagi Pertandingan Anugerah Penilaian Pusat Sumber Sekolah Cemerlang peringkat negeri Selangor yang bakal berlangsung pada 11 Oktober ini.
“Sebelum ini, pasukan sekolah berjaya menewaskan pelbagai pasukan termasuk dari luar negara seperti Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), di samping kejayaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” katanya.