Peruntukan lawatan sambil belajar hanya diberi kepada sekolah cemerlang

Peruntukan lawatan sambil belajar hanya diberi kepada sekolah cemerlang

SEREMBAN 15 Ogos – Kerajaan negeri hanya akan menyalurkan peruntukan bagi tujuan lawatan sambil belajar kepada sekolah yang benar-benar cemerlang dan berjaya mencatat kejayaan.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat berikutan pihaknya menerima banyak permohonan daripada sekolah yang menganjurkan program seumpama itu sebagai acara tahunan.

Ujarnya, kebanyakan program lawatan sambil belajar tidak mencapai manfaat dan lebih banyak disertai oleh guru dan ibu bapa.

“Banyak sekolah memohon program lawatan sambil belajar sedangkan kita sedia maklum ia tidak melibatkan semua pelajar. Ada mahu ke Langkawi, Sabah, Sarawak, malah ke Indonesia.

“Kadang-kadang tidak ramai murid pergi, sebaliknya guru lebih ramai. Saya hanya akan beri peruntukan jika sekolah itu menunjukkan prestasi cemerlang sebagai satu bentuk anugerah atau inisiatif kepada mereka.

“Ada perkara lain yang boleh diberi tumpuan seperti kokurikulum, akademik dan pengukuhan sahsiah pelajar dan semua itu kita akan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Modal Insan Terbilang HEM dan Kokurikulum, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Perasmian Gelanggang Futsal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini hari ini.

Ditanya jumlah peruntukan yang biasanya dimohon sekolah, Aminuddin berkata, ia melibatkan antara RM5,000 hingga RM20,000 bergantung kepada lokasi yang ingin dilawati.

“Saya tak kata ia (program lawatan) tak bagus tapi ia tidak capai matlamat. Dana yang besar itu milik rakyat dan sepatutnya digunakan untuk kepentingan ramai,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Video Terkini

Loading...