KUALA LUMPUR 30 Ogos- Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menitahkan acara Sambutan Hari Keputeraan Baginda iaitu Istiadat Hari Keputeraan Rasmi dan Jamuan Teh Diraja yang akan diadakan pada 9 September di Istana Negara dibatalkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab. Aziz dalam satu kenyataan berkata, Sultan Muhammad V menitahkan agar peruntukan perbelanjaan untuk kedua-dua acara rasmi berkenaan dikembalikan semula kepada kerajaan dengan disalurkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri yang telah merancang acara-acara rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda bagi tahun 2018,” kata kenyataan tersebut.

Sultan Muhammad V bertitah acara-acara rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda yang lain tetap diteruskan sepertimana yang telah dirancang.-UTUSAN