CYBERJAYA, 8 Ogos — Wau Animation, pencipta siri animasi 3D Ejen Ali memperuntukkan RM5.5 juta bagi pembikinan filem pertama ejen rahsia cilik, Ejen Ali The Movie

Ketua Pegawai Eksekutifnya Usamah Zaid berkata filem yang kini giat dalam proses pembikinan itu dijangka ditayangkan pada penghujung tahun depan.

“Seperti pembikinan siri Ejen Ali sebelum ini, sebahagian kos pelaburan filem ini adalah daripada Wau Animation dan Media Prima, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia  (MDEC) turut menyalurkan dana untuk tujuan tersebut,” katanya kepada media selepas tayangan treler filem tersebut di hari ini.

Tayangan treler Ejen Ali dilancarkan bersempena ‘Kre8tif! 2018 Conference & Creative Content Festival’ yang dianjurkan oleh MDEC.

Usamah berkata filem animasi kesan khas yang menggunakan kemahiran dan kepakaran anak tempatan sepenuhnya itu turut menyasarkan tayangan di seluruh  rantau Asia.

“Siri animasi Ejen Ali telah ditonton di seluruh 13 negara di rantau ini dan Indonesia adalah negara luar pertama yang akan kita promosikan untuk filem pertama ini memandangkan ia mempunyai peminat yang ramai di sana malah mencatat posisi antara tiga program kanak-kanak paling popular di saluran MNCTV,” katanya. — Bernama