KUALA LUMPUR, 30 Julai — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan selama dua hari, bertajuk “Doing Business in the Age of Disruption” bagi menyampaikan kaedah inovatif dalam operasi di dunia yang padat dengan maklumat serta bagaimana teknologi boleh membentuk peranan lembaga pengarah.

Persidangan itu yang akan dijalankan mulai 14-15 Ogos, akan mengumpulkan para penceramah terbaik dalam dunia korporat.

“Ia membolehkan peserta mendapat perspektif baharu mengenai gangguan dalam tadbir urus serta amalan Lembaga Pengarah termasuk peranan mereka dalam memacu inovasi dan bertindak balas terhadap risiko gangguan teknologi,” kata SSM dalam satu kenyataan hari ini.

Peserta juga akan mempelajari tentang platform penyerahan SSM yang dikenali sebagai ‘Sistem Pelaporan Perniagaan Malaysia’, yang membolehkan pemfailan tahunan penyata kewangan, laporan, penyata tahunan dan permohonan pengecualian dibuat dengan mudah.

Lebih 1,300 peserta, merangkumi peneraju industri, eksekutif kanan dan pakar profesional dijangka menghadiri persidangan itu. — Bernama