KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Persidangan Industri Perbekalan Elektrik (CEPSI 2018), yang dihoskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menghimpunkan buah fikiran 14 pakar  yang akan berkongsi pengetahuan luas mereka berkaitan industri tenaga elektrik di Kuala Lumpur September ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan TNB hari ini, pakar tersebut antara lain akan membincangkan dan berkongsi amalan terbaik atas topik utama seperti trend global dan perubahannya, utiliti masa depan, kelestarian, inovasi, pendigitalan, megatrends dan masa depan industri yang lebih baik.

Mereka ialah Ken Koyama, Ketua Ekonomi dan Pengarah Urusan, Institut Ekonomi Tenaga Jepun (IEEJ); Lara Olson, Pengurus Wilayah, Pembangunan Perniagaan, Tesla Energy Asia Pacific; Dr Hiroshi Okamoto, Naib Presiden Eksekutif, TEPCO Power Grid Inc, Dr Jonathan Woetzel, Rakan Kongsi Utama, McKinsey & Company; Venu Nuguri, Naib Presiden Kanan Kumpulan, Bahagian Grid Kuasa Kumpulan ABB, Asia Selatan, Timur Tengah dan Afrika; Paul Scanlan, Ketua Pegawai Teknologi Huawei Technologies Co. Ltd. dan Dr Alexander Kotouc, Ketua Pengurusan Produk BMW.

Penceramah lain ialah Jean-Pierre Faure, Ketua Wilayah Asia Pasifik Timur, China, Grid Solution (GE Power), James Chong, Pengarah Urusan, Accenture Digital (ASEAN); Kamal Ballout, Naib Presiden Global Segmen Tenaga, Nokia; D.John Yesuraj, Pengurus Besar (Penyelidikan dan Pembangunan), CG Power and Industrial Solutions Ltd. India; Gavin Barfield, Ketua Penasihat Teknologi, MERALCO; Indranil Lahiri, Presiden & CEO, Siemens Malaysia dan Sharbini Suhaili, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tenaga Sarawak.

Penganjuran acara dwitahunan itu oleh TNB adalah bagi pihak Persatuan Industri Bekalan Elektrik Asia Timur dan Pasifik Barat (AESIEAP). Kali terakhir TNB menjadi tuan rumah CEPSI pada tahun 1996.

Lebih daripada 1,500 perwakilan termasuk ketua industri, eksekutif kanan, pegawai kerajaan dan profesional daripada Asia Timur, Pasifik Barat dan bahagian-bahagian lain di dunia dijangka menghadiri edisi ke-22 CEPSI.

CEPSI 2018, bertemakan “Reimagining Utility of the Future”, akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 17 hingga 22 Sept.

— BERNAMA